Monday, January 21, 2008

UMS=USM=UNIMAS?

Ini bukannya ciptaan atau penemuan formula terbaru oleh ahli matematik. Tetapi ini adalah tanggapan dan kesilapan orang luar terhadap universiti tercinta kita, Universiti Malaysia Sabah(UMS). Apa yang telah berlaku sehingga masyarakat luar kurang mengenali unversiti ini sehingga sering kali menyebut salah nama UMS. Pada Anugerah Filem Video yang lepas, isu ini tertimbul dan ditanya-tanyakan oleh hadirin pada hari tersebut kerana Senator yang mewakili Menteri Kebudayaan, Kesenian Warisan telah salah menyebut UMS sebagai USM. Nasib baik perkara ini telah dapat dibetulkan oleh Dekan Sekolah Pengajian Seni(SPS). Adalah amat sedih hal sebegini boleh berlaku sedangkan beliau memijak di atas tanah UMS pada masa itu.

Sungguh tidak sangka bahawa UMS ini tidak dikenali dan digemari oleh masyarakat umum. Saya terasa bahawa UMS telah dipinggirkan oleh pelbagai pihak( sama ada media ataupun awam). Ada yang mengatakan bahawa UMS hanya mengambil pelajar yang mempunyai keputusan STPM yang lemah. Ini semestinya salah dan tidak tepat kerana UMS juga mempunyai pelajar STPM yang mendapat keputusan CGPA yang penuh iaitu empat. Mahasiswa UMS sering mempertikaikan berkenaan ‘ranking’ UMS yang rendah dan itu hanya merupakan satu pengukur dan mungkin tidak tepat digunakan. Kita perlu menilai pelbagai aspek dalam menentukan kedudukan sesebuah universiti.

Tepuk dada dan tanya kepada diri kita, apakah sumbangan kita kepada UMS sebelum hanya menyoalkan sumbangan UMS kepada kita semua. Pada hujung minggu yang lepas, saya mendapat peluang menghadiri satu sesi pembentangan proposal oleh sekretariat. Dalam pembentangan tersebut, ada sekretariat yang ingin menghantar bas UMS ke semenanjung Malaysia untuk membuat promosi bagi UMS. Adakah cara ini efisien dan patut digunakan kerana hanya satu bas sahaja dihantar ke semenanjung Malaysia untuk program selama 3 hari? Kenapa bukannya kita semua bersama-sama menggunakan alternatif yang lebih jimat dan efisien?

Pada pandangan saya, mahasiswa UMS memainkan peranan yang amat penting dalam ‘mempromosikan’ UMS milik kita semua. Daripada lebih kurang 14,000 pelajar di UMS, sebanyak 60% adalah datang dari negeri di luar Sabah. Kalau setiap daripada kita menjalankan tanggungjawab kita untuk menjaga nama baik universiti, maka setiap daripada kita membawakan makna yang cukup besar kepada UMS. Jangan rakan-rakan hanya tahu merungut kelemahan yang ada pada UMS dan telah mengetepikan segala kebaikan yang UMS memberikan kepada kita semua. Kita patut bersyukur kerana diberi peluang untuk menaymbung pengajian dan menuntut ilmu di UMS kerana bukan semua orang mendapat peluang yang sebegini.

Wahai rakan-rakan sekalian, marilah kita bersama menyumbang kepada UMS dan membuktikan bahawa ‘Mahasiswa Peneraju Keunggulan Ummah’. Selamat menyumbang buat anda sekalian.